• BOLA SEPAK.jpg
  • DOA UNTUK MH370.jpg
  • dsc_0173 br.jpg
  • HUT KJLJD KE 57.jpg
  • Logo HUT TD 81.jpg
  • Mengadap.jpg
  • Mesy AJK Kor Siri 1 2014.jpg
  • RUGBY.jpg

Hari Ini

Tarikh Kemaskini

 Wednesday, 17 September 2014 08:22 

Bilangan Pengunjung

We have 18 guests online

Pelawat Kami

mod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_countermod_vvisit_counter
mod_vvisit_counterHari Ini111
mod_vvisit_counterSemalam511
mod_vvisit_counterMinggu Ini111
mod_vvisit_counterMinggu Lepas5632
mod_vvisit_counterBulan Ini15132
mod_vvisit_counterBulan Lepas33415
mod_vvisit_counterSehingga Kini662239
Sejarah PDF Print E-mail
Tuesday, 13 September 2011 09:34

SEJARAH KOR JLJ DIRAJA

SEBELUM PERANG DUNIA KE 2

Tertubuhnya Kor JLJ Diraja sememangnya berkait rapat dengan struktur dan perkhidmatan yang diberi oleh REME Corps semasa Tentera British berada di Malaya sebelum Perang Dunia Kedua. Sekiranya di lihat kepada sejarah penubuhan REME iaitu asas sebelum tertubuhnya Kor JLJ Diraja, ia mempunyai hubungan dalam bentuk penstrukturan organisasi dan penubuhan kor-kor perkhidmatan di dalam Tentera Darat Malaysia. Dengan demikian, adalah wajar untuk diimbas kembali bagaimana tertubuhnya REME Corps di dalam Tentera British yang juga membawa kepada tertubuhnya Kor JLJ Diraja di Malaysia dan organisasi yang serupa di dalam angkatan tentera negara-negara Komanwel.

REME Corps telah ditubuhkan pada tahun 1942 apabila cadangan penubuhannya telah diluluskan oleh Kabinet British melalui satu mesyuarat yang dipengerusikan oleh Sir William Beveridge. REME Corps telah ditubuhkan berpunca dari masalah tiadanya keseragaman di dalam struktur organisasi dan sistem penyenggaraan kenderaan dan peralatan yang berbeza di dalam Tentera British pada ketika itu. Tentera British mempunyai kor-kor dan rejimen seperti Royal Army Ordnance Corps (RAOC), Royal Army Service Corps (RASC), Royal Engineers (RE) dan rejimen infantri yang masing-masing bertanggungjawab untuk menyenggara kenderaan dan peralatan di dalam kor dan rejimen masing-masing. Disebabkan struktur organisasi sedemikian, setiap kor dan rejimen ini  mempunyai pegangan juruteknik mereka sendiri yang bertanggungjawab untuk menyenggara kenderaan dan peralatan di dalam pegangan kor dan rejimen mereka. Ini telah mengakibatkan berlakunya perselisihan di dalam menetapkan kepentingan dan keutamaan dari segi keanggotaan, latihan, sistem pembaikan, perolehan alatganti serta agihan peralatan woksyop dan alat perenggu. Masalah-masalah ini telah menyebabkan aspek penyenggaraan menjadi terlalu sukar untuk dikawal, membawa kepada kurangnya keberkesanan penyenggaran serta memberi impak negatif kepada tahap kesiagaan Tentera British pada ketika itu.

Apabila REME Corps ditubuhkan, juruteknik-juruteknik yang berkhidmat di dalam RAOC, RASC, RE dan rejimen infantri telah diletakkan di dalam kor yang baru ditubuhkan ini. Namun demikian bagi mengelakkan kecelaruan di dalam saluran pemerintahan dan pentadbiran, perlaksanaannya telah dilakukan di dalam dua fasa. Dalam fasa pertama, setiap rejimen akan mengekalkan sebilangan kecil juruteknik untuk melaksanakan pembaikan ringan di pasukan masing-masing. Bagi unit-unit pengangkutan di dalam RASC, base workshop kepunyaan RASC akan dikekalkan buat sementara waktu manakala RE kekal menyenggara peralatan khas mereka. Bagi pembaikan  yang lebih berat, semua kenderaan dan peralatan ini akan disenggara di woksyop kepunyaan setiap kor dan rejimen berkenaan tetapi dilaksanakan oleh anggota REME. Bagi fasa kedua pula, bermula dari tahun 1949 semua pembaikan ringan di peringkat pasukan secara keseluruhannya diletakkan di bawah tanggungjawab REME termasuk semua base workshop dan peralatan perairan kepunyaan RASC. Proses ini telah mengambil masa selama 4 tahun untuk diselesaikan dan pada tahun 1952, semua keperluan penyenggaraan diletakkan sepenuhnya di bawah tanggungjawab REME kecuali peralatan khas kepunyaan RE. Proses yang sama ini turut berlaku kepada unit-unit Tentera British yang berkhidmat di Malaya pada ketika itu dan turut melibatkan penstrukturan semula agensi penyenggara di dalam setiap kor dan rejimen yang berkaitan.  

Kehadiran Tentera British di Malaya sebelum meletusnya Perang Dunia Kedua juga menggunakan struktur organisasi dan sistem yang serupa sepertimana di Britain. Kehadiran Tentera Darat British di negara ini ketika itu agak kecil saiznya (3 buah Batalion Infantri British di Singapura dan sebuah Batalion Punjabi di Pulau Pinang). Tugas-tugas yang berkaitan dengan kejuruteraan elektrikal dan mekanikal telah dipertanggungjawabkan kepada RAOC. Bantuan ini dilaksanakan oleh woksyop mereka yang terletak di Pulau Belakang Mati dan Changi di Singapura (woksyop-woksyop ini kemudiannya dipindahkan ke Alexandra Road). Sementara itu di Pulau Pinang, sebuah woksyop telah ditubuhkan pada tahun 1939 untuk membantu Batalion Punjabi. Tumpuan utama woksyop-woksyop ini ialah untuk membaiki peralatan-peralatan instrumen dan coastal artillery.

PASCA PERANG DUNIA KE 2

Selepas Perang Dunia Kedua tamat, sebahagian besar tentera yang berkhidmat di sini ialah Tentera India yang dibantu oleh workshop companies dari Indian Electrical and Mechanical Engineers (IEME). Keadaan ini bagaimanapun telah berubah apabila 2nd British Division diaturgerakkan ke negeri Johor. Sebuah woksyop divisyen telah ditubuhkan di Kluang bagi membantu mereka. Sebuah command workshop juga telah ditubuhkan di Circular Road, Kuala Lumpur (kini dikenali sebagai Jalan Pekeliling) iaitu di Ibu Pejabat Malaya Command untuk menyenggara kenderaan dan peralatan kepunyaan markas berkenaan dan unit-unit berhampiran. Setelah India mencapai kemerdekaannya, kesemua Tentera India telah ditarik balik ke negara mereka termasuk pasukan IEME. Ekoran daripada itu, jawatan terkanan bagi REME di negara ini, Deputy Director of Mechanical Engineering (DDME) yang berpangkat Kolonel telah diturunkan taraf kepada Assistant Director of Mechanical Engineering (ADME) yang berpangkat Leftenan Kolonel. ADME yang pertama ialah Lt Col Jimmy Trewby, REME yang turut merangkap jawatan Commander Royal Electrical and Mechanical Engineers (CREME) 23rd Indian Division. Antara tugas utama beliau ialah melatih anak-anak Melayu dalam pelbagai bidang ketukangan di 40 Base Workshop, Singapura dan seterusnya ditugaskan sebagai Local Enlisted Personnel (LEP) atau lebih dikenali sebagai Malayan Other Ranks (MORs) di Malayan Workshops yang ditempatkan di Kluang, Taiping dan Ipoh.

SEMASA DARURAT

Semasa darurat memuncak, kehadiran Tentera British di negara ini turut bertambah. Struktur organisasinya juga telah diubah daripada konsep mengikut daerah kepada konsep divisyen dan briged. HQ 1st Division termasuk CREME dan stafnya yang berada di Taiping telah dibantu oleh woksyop barisan kedua di Ipoh, yang terdiri daripada 21 Inf Wksp di Taiping dan 13 Inf Wksp di Pulau Pinang.

Pasukan 17th Gurkha Division yang berada di Seremban pula dibantu oleh 10 Inf Wksp di Johor Bahru dan 22 Inf Wksp di Kluang mulai bulan Februari 1957. Command Workshop yang berada di Circular Road, Kuala Lumpur pula telah dipindahkan ke Batu Kentonmen manakala dua buah woksyop baru telah ditubuhkan, sebuah di Port Dickson (41 Base Workshop) dan sebuah di Singapura (42 Base Workshop).


PENUBUHAN AWAL

Semasa membuat persiapan untuk menyambut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu, operasi melawan komunis juga sedang memuncak. Keadaan ini telah menyebabkan wujudnya keperluan bagi menyusun semula konsep bantuan logistik bagi Tentera Persekutuan (Federation Army) yang baru saja ditubuhkan. Ini memperlihatkan adanya keperluan bagi menyediakan satu kor perkhidmatan yang baru untuk memberi bantuan logistik kepada Tentera Persekutuan. Justeru, Army Service Corps (ASC) yang terdiri daripada elemen Perubatan, Bekalan, Pengangkutan serta Jurutera Letrik dan Jentera telah ditubuhkan pada 15 Julai 1957. Kor ini diketuai oleh salah seorang pegawai yang paling kanan di antara keempat-empat elemen perkhidmatan berkenaan manakala bagi perkhidmatan JLJ pada ketika itu pula telah diketuai oleh Lt Col Tom Moore, REME, pegawai British pertama yang ditumpangkan kepada Tentera Persekutuan sebagai Director of Mechanical Engineering (DME). Walaupun struktur ASC ini tidak sejajar dengan struktur yang diterapkan oleh Tentera British, ia terpaksa dilakukan disebabkan oleh masalah kekurangan peralatan dan anggota yang dialami oleh Tentera Persekutuan apabila Tentera British dikeluarkan dari Persekutuan Tanah Melayu secara beransur-ansur. Bagi meningkatkan keupayaan kor yang baru ini, 22 Inf Wksp di Kluang telah dibubarkan dan anggotanya diserapkan ke unit-unit yang baru ditubuhkan di dalam ASC. Woksyop di Ipoh juga turut dibubarkan dan tanggungjawabnya diambil alih oleh 21 Inf Wksp di Taiping. Begitu juga 42 Base Workshop di Singapura juga telah turut dibubarkan dan anggotanya diserap masuk ke pasukan ASC.

Penubuhan pasukan JLJ bermula dengan proses penyerapan MOR ke dalam ASC. Dalam aspek ini, pihak British telah memberikan pilihan kepada anak-anak Melayu yang sedang berkhidmat dengan MOR sama ada terus berkhidmat dengan tentera British atau menyertai JLJ (dalam ASC). Proses pemilihan telah dilaksanakan di 2 buah pusat berkumpul di kawasan selatan dan utara. Unit 23 Inf Wksp REME di Jalan Rahang, Seremban telah dijadikan pusat berkumpul bagi anggota-anggota dari unit-unit kawasan selatan, manakala 21 Inf Wksp REME Kem Kamunting, Taiping pula dijadikan pusat berkumpul bagi kawasan utara. Pada ketika itu juga beberapa buah Light Aid Detachment (LAD) yang pada asalnya kepunyaan unit-unit induk tertentu telah diletakkan di bawah tanggungjawab ASC sepenuhnya manakala sebahagian lagi dinaik taraf sebagai sebuah woksyop untuk unit pengangkutan di dalam ASC. Unit-unit LAD yang terlibat adalah seperti berikut:

a.    1 Light Aid Detachment (LAD Federation Infantry Brigade (Fed Inf Bde) (REME) menjadi 1 Fed Inf Bde Light Wksp(ASC).

b.    2 LAD Fed Inf Bde (REME) menjadi 2 Fed Inf Bde Light Wksp (ASC).

c.    LAD Federation Armoured Car Regiment (FACR) menjadi FACR Light Wksp     (ASC).

d.    LAD 51 Field Engineer Regiment (Fd Engr Regt) menjadi Light Wksp 1 Transport Company (Tpt Coy) (ASC).

e.    LAD 29 Coy Royal Army Service Corps (RASC) menjadi LAD 2 Tpt Coy     (ASC).

f.    LAD 52 Coy RASC menjadi Light Wksp 3 Tpt Coy (ASC).

Dengan penubuhan Tentera Laut dan Udara, perkhidmatan JLJ telah diperluaskan untuk membantu ketiga-tiga cabang perkhidmatan iaitu darat, laut dan udara. Sehubungan dengan itu, ASC telah ditukarkan namanya kepada Armed Forces Maintenance Corps (AFMC) pada bulan Julai 1958. Organisasi ini terdiri daripada Cawangan Ordnans, Bekalan dan Pengangkutan serta Woksyop manakala markas pemerintahannya berada di Rifle Range Road (kini dikenali sebagai Jalan Padang Tembak). Penyusunan semula ini mengakibatkan Light Workshop kepunyaan unit-unit pengangkutan semasa di bawah ASC dahulu ditukarkan namanya menjadi LAD semula. Pada ketika ini cawangan woksyop masih lagi diperintah oleh Lt Col Tom Moore, REME, sehingga bulan April 1960. Semasa cawangan ini diperintah oleh Lt Col Girdlestone, REME, lokasi markas pemerintahannya telah dipindahkan dari Rifle Range Road ke Batu Kentonmen dan namanya ditukar menjadi Headquarters of Federation Electrical and Mechanical Engineers (HQ FEME). Pemerintah HQ FEME pada ketika ini dikenali sebagai Commander Workshop AFMC. Pada 8 Ogos 1963, AFMC telah dibubarkan dan fungsi perkhidmatan yang terdapat di dalamnya iaitu perkhidmatan, bekalan dan kejuruteraan elektrikal dan mekanikal telah diasingkan. Pada bulan April 1964, Kor Jurutera Letrik dan Jentera dengan rasminya telah ditubuhkan manakala HQ FEME pula dikenali sebagai Headquarters Malaysian Electrical and Mechanical Engineers (HQ MEME) atau Markas Jurutera Letrik dan Jentera Malaysia (JLJM). Pemerintah JLJM pada masa pembubaran AFMC ini adalah Lt Col J.R Dickinson dan beliau juga diperakui sebagai Pengarah JLJ yang pertama mulai dari tarikh perkhidmatan JLJ diasingkan dari perkhidmatan yang lain di dalam AFMC iaitu pada 8 Ogos 1963. Namun begitu, tarikh penubuhan Kor JLJ bersama-sama Kor Perkhidmatan dan Kor Ordnans telah diperakui pada 15 Jul 1957 berdasarkan kepada tertubuhnya ASC di dalam Tentera Persekutuan. Dengan ini, tertubuhlah Kor Jurutera Letrik dan Jentera yang berperanan untuk melaksanakan penyenggaraan ke atas kenderaan dan peralatan di bawah tanggungjawabnya di dalam Angkatan Tentera Malaysia.

SELEPAS PENUBUHAN MALAYSIA DAN KONFRANTASI

Dengan penubuhan Malaysia pada 16 September 1963 dan ancaman konfrantasi antara Malaysia dengan Indonesia, keperluan bantuan dan kawasan tanggungjawab telah diperluaskan meliputi Sabah dan Sarawak. Ekoran daripada itu, empat buah woksyop baru telah ditubuhkan, 2 buah di Semenanjung, sebuah di Sabah dan sebuah di Sarawak. 5 Wksp ditubuhkan di FEME School, Batu Kentonmen pada 15 Mac 1964 yang diketuai oleh Mej Idrus bin Abdul Rahman. Unit ini kemudiannya dipindahkan ke Jubilee Hall Padungan Road, Kuching pada 28 April 1964 dengan sebuah detasmen di Tawau, Sabah. Pada 2 Mac 1965, Markas 5 Wksp telah berpindah ke Kem Tanjung Batu, Tawau dengan meninggalkan sebuah detasmen di Central Road, Kuching yang kemudiannya menjadi nukleus 6 Wksp.

Pada 16 September 1964, Bde LAD Singapore Electrical and Mechanical Engineers yang ditubuhkan di Beach Road pada 1958 telah ditukarkan namanya kepada 4 Wksp FEME (AFMC). Selepas Singapura keluar daripada Malaysia pada tahun 1965, 4 Wksp FEME (AFMC) telah dipindahkan ke Kem Majidee Barrack, Johor Bahru. Selepas tamat pemerintahan British pada 2 Mei 1970, 4 Wksp FEME (AFMC) telah dipindahkan ke Kem Terendak, Melaka manakala 3 Wksp KJLJ ditubuhkan pada 1 Januari 1965 di 2 Wksp JLJ Taiping.    

Secara keseluruhannya, penubuhan Kor JLJ juga membawa kepada bertambahnya satu lagi model organisasi REME di dalam negara-negara Komanwel. Semangat satu keluarga besar REME yang ditinggalkan oleh mereka kekal berada di sanubari anggota-anggota Kor JLJ sehingga sekarang. Banyak peninggalan bersejarah yang masih kekal digunakan sehingga kini antara lainnya adalah bangunan woksyop di Kem Salerno Line, Taiping, Kem Batu Kentonmen, Kuala Lumpur dan di Kem Terendak, Melaka. Mereka juga bukan sahaja meninggalkan infrastruktur kepada Tentera Persekutuan malah turut melatih anggota tentera dan juga anggota awam menjadi juruteknik yang mahir di dalam pelbagai ketukangan yang diperlukan oleh kor dan diperturunkan sehingga ke hari ini. Sesuatu yang amat penting disini adalah mengenai hubungan di antara REME dan Kor JLJ Diraja yang perlu dipupuk dan dikekalkan. Seperti yang dinyatakan oleh Brig Gen B.B Kenneth, REME:

“A close and friendly association remains between the two Corps and many will look back with nostalgia to theirs experiences in the early days of the formation of the EME Corps of the Malaysian Army. The Malaysian EME was born, fostered and organised by the mother Corps and now stands in its own right; a competent engineering Corps and a credit to its officers and NCOs, many of whom received their original training and service experience with REME.”  

Berikutan dengan persetujuan dari Her Majesty Queen Elizabeth II dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung, DYMM Sultan Ismail Nasharuddin Shah Ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin untuk memberi perkenan Royal Affiliation dan Alliance kepada hubungan di antara REME dan Kor JLJ pada Mac 1968, hubungan surat menyurat dari Representative Colonel Commandant REME, Major General M.F. Scott kepada Pengerusi Kor JLJ ketika itu Lt Kol Hj Idrus bin Abdul Rahman pada 18 Apr 1968 telah mengalu-alukan hubungan baik dari kedua belah pihak berbunyi:

“I have been informed that Her Majesty Queen Elizabeth II and His Majesty the Malaysian Yang Di-Pertuan Agung have been graciously pleased to give their consent to an Alliance between the Corps of Royal Electrical and Mechanical Engineers and The Malaysian Electrical and Mechanical Engineers. As Representative Colonel Commandant of the Corps of Royal Electrical and Mechanical Engineers, I write to say how pleased we in REME are that this Alliance has been established. There has been a close and friendly relationship between our two Corps for a long time, and I am quite sure that this new affiliation will strengthen the ties between us to our mutual benefit in the years to come.”

Pengerusi Kor JLJ, Lt Kol Hj Idrus bin Abdul Rahman telah membalas surat dari Representative Colonel Commandant REME melalui sepucuk surat bertarikh 9 Mei 1968 dengan harapan agar satu lembaran baru dibuka untuk mengukuhkan hubungan kedua belah pihak dan lebih berjaya. Surat ini  berbunyi:

“Thank you very much for your letter dated 18th Apr1968 and the good tidings on the Alliance between the Corps of Malaysian Electrical and Mechanical Engineers and the Corps of Royal Electrical and Mechanical Engineers. As chairman of the Corps Committee of the Malaysian Electrical and Mechanical Engineers, I wish to express the hope that this affiliation will be a success and open up a new as well as improved relationship between our two Corps.”

Kini di dalam usia 50 tahun penubuhannya, Kor JLJ Diraja terus berkembang dan mempunyai sebuah Woksyop Pusat, 4 buah Woksyop Divisyen, 11 buah Woksyop Briged, 10 buah Woksyop Rejimen dan Detasmen Bantuan Kecil (DBK) di pasukan-pasukan Tentera Darat disamping anggota-anggotanya bertanggungjawab terhadap penyenggaraan pesawat Pasukan Udara Tentera Darat. Kor JLJ juga telah dianugerahkan gelaran Diraja pada 7 Jun 1997 dan menerima DYMM Tuanku Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Jaafar Ibni Al-Marhum Tuanku Abdul Rahman selaku Kolonel Yang Dipertua Kor. Melalui asas kukuh yang telah dirancang, dipupuk dan laksanakan serta pandangan jauh dari para pemimpin terdahulu semenjak dari awal penubuhannya, Kor JLJ Diraja kini telah berjaya mengharungi segala cabaran dan rintangan serta mencapai kecemerlangan di dalam pelbagai bidang. Dengan pencapaian dan perkembangan semasa yang berlaku, Kor JLJ Diraja akan terus memberikan perkhidmatan JLJ yang berkesan dan cemerlang; dahulu, kini dan selamanya kepada Tentera Darat.

Last Updated on Thursday, 10 November 2011 10:31
 

Hakcipta Terpelihara 2012 © Kor Jurutera Elektrik Dan Jentera Diraja
Notis Hak Cipta |  Dasar Privasi |  Dasar Keselamatan |  Penafian

Jabatan Arah JLJ Tingkat 11,
Wisma Pertahanan Jalan Padang Tembak,
50634 Kuala Lumpur